GEDONG: Kerajaan Sarawak berikrar untuk terus memperjuangkan hak-hak dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negeri ini dihormati.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg menegaskan bahawa Sarawak berhak mengurus sumber asli, tanah, dan hasil negeri tanpa campur tangan yang tidak wajar.
"Kita kini memperjuangkan hak negeri kita berhabis-habisan berdasarkan undang-undang kerajaan negeri,
"Oleh demikian kini hampir semua projek pembangunan ekonomi dibangunkan dibawah undang undang kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Program Perhimpunan Pemuda PBB di Dewan Datuk Patinggi Ali , Gedong pada Ahad.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menekankan bahawa kualiti pimpinan sesebuah kerajaan harus seimbang dan selari dengan pembangunan ekonomi dunia kerana Sarawak diiktiraf sebagai negeri berpendapatan tinggi.
"Sebagai satu-satunya pemain penting dalam ekonomi dunia khususnya Asia, maka kualiti pimpinan hendaklah selari dengan perkembangan ekonomi dunia," ujarnya.
Premier Sarawak menambah, kerajaan negeri komited untuk memperkasakan sektor ekonomi dan sosial demi kemakmuran rakyat.
Dengan komitmen ini, beliau berharap Sarawak mencapai kemajuan dalam memperjuangkan hak-hak negeri serta memastikan kesejahteraan dan pembangunan rakyat terus dipacu ke hadapan.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua PBB Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang di-pertua Kanan Parti PBB Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Setiausaha Agung Parti PBB Sarawak Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Ketua Wanita PBB Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah dan Ketua Pemuda PBB Sarawak Miro Simuh.-EDISI UKAS