Kerajaan Sarawak Sediakan Tanah, Bina Ibu Pejabat SHEDA

Disiarkan pada 10 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyediakan sebidang tanah untuk membina ibu pejabat Persatuan Pemaju Perumahan Dan Hartanah Sarawak (SHEDA).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahaman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong matlamat utama SHEDA untuk membangunkan sistem maklumat pasaran hartanah yang kukuh dan berpusat di wilayah ini.

"SHEDA sentiasa menjadi pemacu kepentingan yang aktif dalam industri ini dan bagi pihak Kerajaan Sarawak, kami berharap agar kerjasama produktif ini akan berterusan dan memberi manfaat kepada industri secara keseluruhannya.

“Tanah baharu telah diperuntukkan kepada beberapa pemaju profesional, termasuk Institusi Jurutera Malaysia (IEM), Lembaga Juruukur, dan perancang bandar, di mana SHEDA juga berkemungkinan menjadi salah satu penerimanya,” jelas beliau.

Beliau berucap demikian semasa Majlis Makan Malam Tahunan SHEDA dan Anugerah Kecemerlangan 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada malam Sabtu.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, bahawa beliau mempunyai perancangan untuk mewujudkan kluster profesional untuk projek ini, di mana ibu pejabat akan terletak di Kuching.

Sementara itu, turut diadakan ialah penyampaian beberapa anugerah berprestij termasuk Anugerah Kecemerlangan Sepanjang Hayat SHEDA 2024 yang disampaikan kepada Dato Tan Guek Kee daripada Lee Onn Group.

Antara lain ialah Anugerah untuk Pembangunan Strata (Perumahan) diberikan kepada Lee Onn Development Sdn Bhd, Green Summit Development Sdn Bhd (Anugerah Pembangunan Perumahan Mampu Milik Swasta), Lafrowda Land Sdn Bhd (Anugerah Perumahan Berbentuk Tanah Sederhana), Maya Sinarjaya Sdn Bhd ( Anugerah Perumahan Berbentuk Tanah Besar), Sendayan Ventures Sdn Bhd serta Sumberdyna Sdn Bhd masing-masing menerima Anugerah Pembangunan Perumahan Mampu Milik Swasta dan Rasaja Sdn Bhd (Anugerah untuk Perumahan Berbentuk Tanah Besar).

Dalam majlis sama, Premier Sarawak turut menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SHEDA dengan Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI) Cawangan Malaysia.

MoU ini bertujuan untuk menyediakan lebih banyak peluang bagi pemaju Sarawak untuk mempamerkan projek-projek cemerlang mereka di platform yang lebih tinggi, iaitu dalam Anugerah Hartanah Malaysia (MPA).

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Presiden SHEDA Augustine C.H. Wong, Pengerusi Penganjur Makan Malam Tahunan SHEDA 2024 Steven Au Fock Ghing, Pengerusi Penganjur Anugerah Kecemerlangan SHEDA 2024 Zaidi Ahmad, Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) Datuk Sr. Chua Soon Ping dan tetamu-tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS