MIRI: Pendidikan holistik memberikan penekanan bukan sahaja kepada pencapaian akademik, tetapi juga kepada pembangunan sahsiah dan kemahiran kepimpinan pelajar melalui aktiviti kokurikulum.
Ahli Majlis Bandaraya Miri, Kaunselor Vincent Huang Huat Choon berkata, pembentukan sahsiah yang kukuh serta kemahiran kepimpinan yang diperoleh melalui penglibatan dalam kokurikulum akan mempersiapkan pelajar untuk menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
Menurutnya, ini sekali gus menjadikan mereka lebih bersedia untuk berperanan sebagai pemimpin masa depan yang berjaya dan bertanggungjawab.
“Saya amat berbangga dengan pencapaian pelajar dalam bidang kokurikulum dan hal ehwal murid. Mereka bukan sahaja menjadi sumber inspirasi kepada rakan-rakan mereka, tetapi juga kepada kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang bagi menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum dan Hal Ehwal Murid (HEM) di Dewan Perdana, Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, disini pada Jumaat.
Majlis ini bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang para pelajar dalam pelbagai bidang kokurikulum dan kepimpinan sepanjang sesi 2023/2024.
Hadir sama ialah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Miri Sektor Pembangunan Murid Aziz Tahir, Pengetua Kolej Tun Datu Tuanku Bujang Jumari Hashim, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Charles Gau serta Timbalan Pengerusi Persatuan Alumni Kolej Tay Kun Wei. -Edisi UKAS