Tingkatkan Literasi Kesihatan Mental Dalam Kalangan Remaja

Posted on 09 Nov 2024
Source of News: UKAS


SIMUNJAN: Kesihatan mental terutamanya dalam kalangan remaja perlu diberi perhatian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, ini kerana golongan ini terdedah dengan gangguan kesihatan mental seterusnya memberi impak kepada kesejahteraan hidup.

Menurutnya, program Program Literasi dan Kelestarian Kesihatan Mental Untuk Remaja Luar Bandar benar-benar menggambarkan usaha bersama yang diperlukan bagi meningkatkan serta memastikan kesejahteraan mental masyarakat luar bandar, khususnya remaja dapat diberi perhatian yang sewajarnya.

"Sebagai wakil rakyat, saya sangat menghargai usaha murni ini kerana masalah kesihatan mental di kalangan masyarakat luar bandar khususnya remaja sering kali terpinggir disebabkan oleh stigma, jarak dari pusat bantuan, serta kurangnya kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan mental.

"Stigma kesihatan mental harus dihentikan bagi mengelakkan diskriminasi berterusan dalam masyarakat dan kesukaran individu yang dikaitkan dengan masalah mental mendapatkan bantuan profesional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program anjuran bersama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu di sini pada Sabtu.

Tegas Awla lagi, perkara ini tidak boleh diambil mudah oleh masyarakat walaupun mungkin tiada dalam kalangan ahli keluarga terdekat yang mengalami masalah tersebut.

"Oleh itu, kempen kesedaran berkaitan isu ini harus dilaksanakan secara holistik agar tiada individu yang mempunyai ciri-ciri gangguan mental didiskriminasikan dan ketinggalan dalam mendapatkan rawatan sewajarnya,” ujarnya lagi.

Difahamkan, program selama dua hari ini melibatkan 60 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simunjan No 1, SMK Sri Sadong, SMK Gedong dan SMK Sebuyau.

Turut hadir, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pengkomersilan mewakili Naib Canselor UNIMAS Profesor Madya Dr Hardyman Barawi, Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat, wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Dayang Norhasmah Nasron, Ketua Projek Komuniti Uni@Madani Ross Azura Zahit serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Kawasan Simunjan. -Edisi UKAS