Premier Sarawak & Rombongan Selamat Tiba Di Poznan, Poland, Hadiri Forum Teknologi Hidrogen Eropah

Disiarkan pada 24 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


POZNAN: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta rombongan kerajaan negeri selamat tiba di Poznan, Poland dalam rangka lawatan kerja rasmi dua hari di situ.

Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Menyambut ketibaan delegasi kerajaan Sarawak ialah Timbalan Presiden Wilayah Wielkopolska, Marek Gola dan Pengarah Jabatan Ekonomi Wilayah Wielkopolska, Beata Joana. 

Turut hadir Ketua Bahagian Wielkopolska 2050, Magdalena Kaseja-Astriab dan Duta Besar Malaysia ke Poland, Dato' Chitra Devi Ramiah dan Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Abang Ahmad Abang Morni.

Di Poland, Premier Sarawak akan menghadiri Forum Teknologi Hidrogen Eropah Tengah dan Forum Dekarbonisasi Eropah Tengah yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 25 April ini.

Beliau akan berucap sebagai ahli panel forum semasa sesi bertajuk 'Debate Regions for the Planet' iaitu mengenai perspektif Sarawak dan pengalamannya ke arah peralihan tenaga, keselamatan tenaga boleh diperbaharui, penyahkarbonan dan kelestarian alam sekitar.-EDISI UKAS