KUCHING: Sebanyak empat Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentang dalam Mesyuarat Kedua bagi Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bermula 11 sehingga 20 November ini.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, RUU Perbekalan Belanjawan Sarawak 2025 akan dibentangkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurutnya, turut dibentangkan ialah RUU Perbekalan Tambahan (2024), 2024 yang akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan RUU Pengagihan Gas (Pindaan) 2024 oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi.
"Pembentangan RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar ini adalah untuk mengambil alih kuasa pengurusan sisa yang ada di wilayah ini yang kini tertakluk di bawah kuasa Kerajaan Pusat.
“Bermula 1 Januari 2025, Jabatan Alam Sekitar akan menyerahkan kuasa untuk mengawal selia dan menguruskan sisa di wilayah ini kepada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB).
“Sebarang aktiviti yang melibatkan pembuangan sisa akan diserahkan kepada pihak berkuasa negeri seperti sisa logam, bateri, sisa buangan elektronik dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Mesyuarat Kedua bagi Penggal Ketiga Persidangan DUN Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak di sini pada Sabtu.
Mempengerusikan mesyuarat tersebut ialah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Timbalan Speaker DUN Sarawak Dato Idris Buang serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Sementara itu, beliau memaklumkan terdapat sebanyak 350 soalan yang diterima daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Persidangan DUN kali ini di mana Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak menerima soalan terbanyak iaitu 61 soalan. -EDISI UKAS