Sarawak Meterai MoU Sempena Ulang Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia & China

Disiarkan pada 09 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Sarawak telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Sabah, Indonesia dan Brunei Darussalam dalam satu majlis makan malam anjuran Persatuan Persahabatan Sarawak-China (SCFA) di sebuah hotel terkemuka, di sini pada Jumaat.

MoU tersebut ditandatangani oleh Presiden SCFA Datuk Wee Kok Tiong, Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China Sabah Dr. Oh Ei Sun, Presiden Persatuan Persahabatan Brunei-China Dr. Muhammad Firdaus Abdul Rahman dan Ketua Umum Persatuan Persahabatan Kalimantan-Tiongkok Ibu Oktavia.

Upacara penandatanganan disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Turut serta ialah Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Pendidikan) merangkap Penasihat SCFA Datuk Amar Michael Manyin Jawong, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Presiden Beijing Returned Overseas Chinese Federation-Malaysian Returned Overseas Chinese Association Huang Heqing dan Pemangku Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching Song Changhong.

Terdahulu, Datuk Amar Profesor Dr Sim menerusi teks ucapan Premier Sarawak memberitahu, langkah ini diambil bukan sahaja untuk memperkukuh hubungan diplomatik, malah mengeratkan lagi kerjasama ekonomi antara keempat-empat pihak dalam pelbagai bidang strategik seperti perdagangan, pendidikan, pelancongan serta pertukaran budaya.

"Kekuatan kita terletak pada kemampuan untuk mengukuhkan lagi ikatan kita, menyokong pembangunan yang mampan dan inklusif, serta membantu membina sebuah rantau yang stabil dan makmur untuk semua.

"Marilah kita meneruskan perjalanan ini bersama-sama sebagai rakan kongsi dan penjaga masa depan yang kita kongsi bersama,"katanya.

Beliau berucap demikian dalam Majlis Makan Malam sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China serta ulang tahun ke-30 penubuhan Konsulat Jeneral China di Kuching.

Sebelum itu, Datuk Amar Profesor Dr Sim turut berkesempatan menyaksikan pameran foto yang disediakan sepanjang majlis itu sebelum dipindahkan ke pusat beli-belah Farley untuk dipamer dari 11 hingga 13 November ini.

Ditubuhkan pada 2005, SCFA berfungsi sebagai platform komunikasi antara kerajaan Sarawak dan China bagi menggalakkan hubungan dua hala yang lebih erat, di samping menyokong usaha mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan dan peluang perniagaan kepada masyarakat di China. -Edisi UKAS