Premier Sarawak Sifatkan Lawatan Kerja Ke UK Berjaya Capai Objektif

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


LONDON: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyifatkan lawatan kerja rasmi selama tiga hari ke United Kingdom (UK) berjaya mencapai objektif dan membuahkan hasil.

Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, hasil daripada lawatan kerja tersebut akan diterjemahkan  dalam memperkasakan industri sumber tenaga boleh diperbaharui dan semikonduktor di Sarawak.

Malah Premier Sarawak menambah, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara Sarawak Microelectronics (SMD) Semiconductor dengan syarikat berpangkalan dari UK, CSA Catapult merupakan antara kejayaan yang dilakar sepanjang lawatan kerja itu.

"Kedatangan kita ke sini (UK) adalah untuk menerokai teknologi baharu, contohnya di Leeds kita telah diperkenalkan mengenai teknologi terkini melibatkan tenaga boleh diperbaharui iaitu biojisim. 

"Kita telah mengadakan lawatan ke Loji Janakuasa Drax yang menghasilkan tenaga biojisim dari kayu palet dan kita di Sarawak akan menerokai penggunaan teknologi tersebut," katanya lagi.

Premier Sarawak menambah, Drax merupakan satu-satunya loji janakuasa di dunia yang memiliki teknologi tersebut yang melibatkan tenaga boleh diperbaharui iaitu biojisim.

Turut mengiringi Premier Sarawak sepanjang lawatan kerja rasmi ke UK ialah Timbalannya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili dan Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga Dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak , Abang Ahmad Abang Morni.-EDISI UKAS