KUCHING: Ombudsman Sarawak dijangka membentangkan laporan pertama badan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tahun depan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berkata Ordinan Ombudsman telah berkuat kuasa April lepas dan Ketua Ombudsman Sarawak baharu dilantik pada Jun.
“Buat masa ini kita sedang mengurus urusan pentadbiran, perjawatan dan operasi. Jadi dijangka bermula tahun depan kita akan buat pelaporan aktiviti dan kes dikendalikan ombudsman pada DUN Sarawak.
“Jadi pada sidang DUN akan datang ini (November) belum ada sebarang laporan dari pihak ombudsman,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri bengkel berkaitan rasuah dan liabiliti undang-undang untuk Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sini pada Jumaat.
Pada 20 November tahun lepas, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang Ombudsman Sarawak 2023, yang akan membolehkan orang ramai melaporkan salah tadbiran agensi perkhidmatan awam negeri.
Rang undang-undang yang dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan itu diluluskan sebulat suara.
Dalam ucapan penggulungannya, Awang Tengah berkata laporan aktiviti ombudsman dan siasatan akan disiarkan sepenuhnya di DUN termasuk sebarang penemuan, syor dan pendapat ombudsman.-BERNAMA