Sarawak Sasar Capai 15GW Tenaga Menjelang 2035

Disiarkan pada 08 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS



ABU DHABI: Sarawak telah menetapkan sasaran untuk melipatgandakan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui kepada 15 gigawatt (GW) menjelang 2035.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelan jangka panjang ini adalah sebahagian daripada komitmen untuk memanfaatkan sumber semula jadi dan dasar strategik bagi mendorong pertumbuhan wilayah.

“Saya rasa apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah mempunyai dasar jangka panjang sehingga 2035. Sasaran kita menjelang 2030 adalah untuk menghasilkan 10GW walaupun keperluan domestik kita jauh lebih rendah daripada itu.

“Dengan kata lain, lebihan tenaga ini boleh dikongsi dengan rakan-rakan kita. Kemudian, menjelang 2035, kita berharap untuk meningkatkan pengeluaran kepada 15GW, dan itu akan membolehkan kita menghasilkan campuran tenaga yang sesuai untuk jiran-jiran kita.

“Apa yang saya katakan di sini adalah kita perlu mempunyai dasar yang kukuh, dan kita sudah mempunyai dasar itu menuju 2035. Kita akan lihat apa yang akan berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas menjadi panel jemputan dalam perbincangan tumpuan pada Pameran & Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) 2024 di Pusat Pameran Nasional Abu Dhabi (ADNEC) di sini pada Rabu.

Premier Sarawak menambah, kapasiti penjanaan tenaga Sarawak kini adalah 5.7 GW, di mana 62 peratus daripada tenaga itu dijana melalui hidroelektrik di Empangan Batang Ai, Bakun dan Murum.

Manakala katanya, gas menyumbang 21 peratus, arang batu 16 peratus, diesel 1 peratus, manakala tenaga alternatif seperti biomas, solar hibrid dan loji mikrohidro menyumbang kurang daripada 1 peratus.

"Empangan Baleh dengan kapasiti 1.3 GW, sedang dalam pembinaan dan dijangka beroperasi menjelang 2027, memberikan peningkatan kapasiti yang signifikan seterusnya.

“Pada masa ini, kami menghasilkan 70 peratus tenaga daripada hidro dan 30 peratus daripada bukan hidro. Dengan kata lain, kami sudah mempunyai tenaga bersih dan telah mengembangkannya selama 20 tahun dalam pengeluaran tenaga hidroelektrik.

“Oleh kerana kelebihan yang dimiliki, di mana kami berada di kawasan tropika dengan banyak sungai, kami memanfaatkan kekuatan ini untuk menghasilkan tenaga bersih, bukan hanya untuk Sarawak, tetapi juga berkongsi melalui apa yang kami panggil Grid Borneo dengan jiran-jiran kami, Indonesia, Brunei Darussalam, dan juga di Kalimantan, Indonesia,” jelasnya.

Katanya lagi, Sarawak kini sedang dalam perbincangan untuk membekalkan sehingga 1 GW tenaga boleh diperbaharui ke Singapura menjelang 2031.

Projek ini yang melibatkan Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Sembcorp Industries dari Singapura, termasuk kabel dasar laut berkapasiti tinggi sepanjang 700 kilometer, dengan pembinaannya diuruskan oleh Singapura dalam tempoh enam hingga tujuh tahun.

Dengan pembiayaan yang masih dalam rundingan, Keppel Corporation telah menunjukkan minat dan Sarawak sedang mempertimbangkan bekalan tenaga ke Johor yang dipacu oleh pertumbuhan industri dan permintaan pusat data.

“Terdapat apa yang kita panggil zon ekonomi bersama antara Johor dan Singapura, di mana mereka telah berbincang dengan kami mengenai kemungkinan kami membekalkan tenaga ke Johor.

“Pada masa ini, Johor bergantung kepada tenaga solar, namun kadangkala terdapat masalah dengan konsistensi bekalan, dan kami sedang berusaha untuk mencari cara terbaik bagi membantu Johor atau Semenanjung Malaysia dalam menyediakan bekalan tenaga bersih,” katanya.

Sarawak memeterai kerjasama bersama Masdar dari Abu Dhabi untuk membangunkan panel solar terapung yang mampu menghasilkan sehingga 1 GW.

Projek ini, bersama inisiatif lain akan membantu Sarawak memenuhi permintaan tenaga dan menyumbang kepada pengurangan perubahan iklim.

Masdar, yang dikenali sebagai Abu Dhabi Future Energy Company, adalah firma tenaga boleh diperbaharui terkemuka yang memfokuskan kepada projek solar, angin, dan hidrogen hijau.

Di Sarawak, Masdar bekerjasama dengan SEB dan Gentari, anak syarikat Petronas, untuk menilai kemungkinan pemasangan projek solar terapung di Loji Hidroelektrik Murum dengan sasaran pengeluaran sehingga 1 GW.

Pengeluaran 1 GW daripada solar terapung ini akan menjadi pencapaian besar, memandangkan projek terbesar yang terdapat di China hanya menghasilkan sekitar 320 megawatt.

Turut mengiringi Premier Sarawak semasa lawatan kerja rasmi ke Abu Dhabi ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Pengerusi SEB Datuk Ibrahim Baki serta pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan Sarawak. - EDISI UKAS