Kompleks Sukan Simunjan Dibuka Tahun Hadapan

Disiarkan pada 08 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS



SIMUNJAN: Kompleks Sukan Simunjan akan dibuka kepada orang ramai mulai tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, kompleks sukan itu dijangka beroperasi tahun hadapan kerana hanya menunggu dokumen dan beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) sebelum majlis penyerahan projek tersebut.

"Kemungkinan besar padang sekolah ini tidak dapat digunakan lagi tahun hadapan untuk sukan sekolah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja projek Cadangan Menaik Taraf Bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Sageng.

"Namun demikian, pada tahun hadapan Kompleks Sukan Simunjan kita telah dapat digunakan yang mana trek balapan telah siap sepenuhnya dan hanya menunggu majlis penyerahan sahaja lagi.

"InsyaAllah tahun hadapan kita boleh menggunakan kompleks tersebut sebagai sukan tahunan sekolah," katanya.

Awla berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Sageng Kali Ke-54 pada Khamis.

Ujar Awla, melalui sukan di peringkat sekolah ini, pelajar-pelajar sekolah dapat mencungkil dan mengasah bakat mereka melalui pertandingan sukan yang mereka minati.

"Bersukan juga bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan malah dapat memberi manfaat kepada pelajar itu sendiri untuk menjadi lebih berdisplin, berfikiran positif dan juga dapat mengisi masa lapang mereka.

"Diharap penyertaan para pelajar untuk menyertai pertandingan sukan antara sekolah semakin banyak bagi meningkatkan mutu sukan sekolah masing-masing dan boleh menjadi wakil atlet diperingkat kebangsaan," ujarnya.

Pada tahun ini, kejohanan olahraga melibatkan empat buah rumah sukan dengan menggunakan nama-nama bank yang terdapat di Malaysia.

Awla juga turut berkesempatan menyampaikan hadiah kepada pemenang serta hadiah bagi perbarisan terbaik dan maskot terbaik.

Hadir sama, Guru Besar SK Sageng, Mohd. Ramlan Bohri, Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan, Sektor Pembangunan Murid (Kokurikulum), Nazli Abdul Razak yang mewakili Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan, Penolong Kanan Pentadbiran SK Sageng, Farida Poni, Yang Di-Pertua PIBG SK Sageng, Jaferi Sapawi dan Penghulu Ahmad Dol Simpol. -EDISI UKAS