Budaya Sarawak Harus Dipelihara Untuk Pupuk Semangat Perpaduan

Disiarkan pada 08 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS



MIRI: Budaya dan tradisi unik di Sarawak harus dipelihara bagi memupuk semangat perpaduan dan harmoni yang menjadi asas kepada keistimewaan negeri ini.

 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, Sarawak terkenal dengan kepelbagaian etnik dan budaya yang ditonjol menerusi program kebudayaan yang menarik.

 

“Program ini bukan sahaja menjadi satu platform untuk mempersembahkan keunikan gendang dari etnik seperti Iban, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu, Melayu Sarawak dan banyak lagi.

 

“Sarawak terkenal dengan kepelbagaian etnik dan budaya, dan kita bangga dengan keharmonian yang terjalin antara masyarakat yang pelbagai.

 

“Gendang sebagai satu elemen seni budaya, memainkan peranan penting dalam menyatukan komuniti, di samping menjadi medium komunikasi dan pengucapan dalam upacara tradisi dan keagamaan,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus pada Majlis Perasmian Sound of Drums: Taste of Borneo 3.0 di sini pada Khamis. 

 

Datuk Amar Awang Tengah berkata, beliau yakin kita mampu memelihara dan memartabatkan warisan budaya serta membuka peluang kepada generasi muda untuk mengenali dan menghargai seni budaya tempatan.

 

“Saya berharap program seperti ini akan terus dianjurkan pada masa hadapan dan menjadi jambatan budaya yang menghubungkan generasi tua dan muda serta memperkenalkan keunikan Sarawak kepada dunia luar,” katanya.

 

Turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Kedayan Miri Mohamad Abdullah Jamin, Pengerusi Penganjur Harry Lee, Presiden Persatuan Cina Sarawak Ting Pang Soo dan Presiden Persatuan Melayu Kedayan Brunei Zainal Tinggal. -EDISI UKAS