BAU: Para pelajar di kawasan ini diingatkan untuk memanfaatkan sepenuhnya penganjuran Hari Kerjaya yang telah dianjurkan untuk mengetahui maklumat kerjaya selepas tamatnya tempoh persekolahan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembut, Miro Simuh berkata, Hari Kerjaya itu penting untuk membantu bukan sahaja dalam aspek penyaluran maklumat kerjaya malah dapat membantu para pelajar menentukan hala tuju yang perlu mereka ambil apabila memilih jurusan di universiti kelak.
Jelas beliau, maklumat yang padat diperolehi daripada program seumpama ini dapat membantu pelajar daripada membuat pilihan yang salah.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sekolah dan Hari Kerjaya anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bau di sini, pada Khamis.
Dalam kesempatan itu juga, Miro menyeru para pelajar di Daerah Bau untuk menyeimbangi kejayaan mereka dalam bidang akademik dengan penglibatan dalam kokurikulum.
Pada majlis itu juga, beliau diberi penghormatan untuk menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Tertinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2023 kepada sembilan orang pelajar serta kepada 16 bekas pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM 2023.
Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Bau Edward Ngelai, wakil Pengarah Yayasan Sarawak Ratnasari Mansor serta yang lain. -EDISI UKAS