KUCHING: Kutipan zakat di Sarawak pada tahun ini dijangka melebihi jumlah yang dicatat pada tahun sebelumnya.
Pengurus Besar Tabung Baitumal (TBS) Datu Abg Mohd Shibli Abg Mohd Nailie berkata, sokongan masyarakat terhadap pembayaran zakat semakin meningkat dengan beberapa faktor yang menyumbang kepada lonjakan kutipan tersebut.
Jelasnya, kesedaran masyarakat semakin tinggi tentang peranan zakat dalam membantu golongan yang memerlukan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi ummah di Sarawak.
"Kita telah mendapat banyak sokongan daripada masyarakat Islam yang telah membayar zakat mereka setiap tahun dan setiap tahun jumlah ini meningkat.
"Kalau pada tahun ini sahaja dari Januari hingga September kita telah mengutip sejumlah RM106 juta.
"Kita menganggarkan untuk tahun ini dapat mengutip sekitar RM145 juta," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Agihan Bantuan dan Penyerahan Zakat Perniagaan oleh Kumpulan FGV Holdings Berhad (FGV) di sini, pada Khamis.
Simbolik penyerahan tersebut telah dilakukan oleh Pegawai Agama FGVPM, Ustaz Mohd Farid Baharudin selaku wakil Zakat Perniagaan dari Kumpulan FGV Holdings Berhad kepada Pengurus TBS Datu Abg Mohd Shibli Abg Mohd Nailie.
Pada mailis itu, RM44,945 turut diagihkan kepada 28 orang asnaf melalui dua program utama TBS iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan dan Program Memantapkan Kebajikan Ummah.
Sementara itu, sebanyak RM218,250 juga diserahkan bagi kutipan terakhir bagi bulan Disember 2023.
Untuk makluman, bagi tempoh Januari 2024 sehingga 30 September 2024, TBS telah mengagih RM82.29 juta kepada asnaf yang layak melalui empat program utamanya iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam, Program Memantapkan Kebajikan Ummah dan Program Peningkatan Kemahiran Ummah.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Sektor Kewangan dan Pentadbiran Sulaiman Mahili, Eksekutif FGV Holdings Berhad Azman Ibrahim. -EDISI UKAS