KUCHING: Sebanyak 33 beg darah berjaya dikumpul menerusi Program Derma Darah anjuran Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) bagi mengisi bekalan darah Tabung Bekalan Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) pada Rabu.
Menurut wakil Pengurus Besar LCDA Haizawati Fadillah Hamzah, program itu merupakan sebahagian daripada acara tahunan LCDA sebagai pengisian kepada aktiviti LCDA Prihatin 2024.
Bertemakan #LCDAprihatin 2024 ke arah ‘Caring Society’, program derma darah ini adalah salah satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) LCDA ke arah mewujudkan dan menyemai rasa tanggungjawab masyarakat yang lebih peka mengenai kepentingan untuk menderma darah sekaligus memupuk sifat penyayang dalam membantu golongan yang memerlukan serta mengisi keperluan bekalan darah bagi HUS.
Dalam satu kenyataan media pada Rabu, seramai 33 daripada 50 penderma darah terdiri daripada kakitangan LCDA, agensi kerajaan, pihak swasta dan orang ramai yang turut serta telah berjaya dalam saringan untuk menderma darah.
LCDA dan Tabung Bekalan Darah HUS berharap agar lebih banyak agensi kerajaan mahupun swasta menganjurkan aktiviti sebegini bagi menampung bekalan darah untuk menghadapi sebarang kes-kes rawatan kecemasan pesakit yang memerlukan bekalan darah.
Harapan LCDA agar Program Derma Darah #LCDAprihatin 2024 dapat membantu menyumbang kepada bekalan darah yang sedia ada kerana yakin darah penderma mampu menyelamatkan nyawa. -EDISI UKAS