Status PETROS Sebagai Agregator Gas Sarawak Diumum Dalam Masa Terdekat

Disiarkan pada 07 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


ABU DHABI: Status Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai agregator gas tunggal di Sarawak akan diumum dalam masa terdekat, menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

“Kita akan umum pada masa yang terdekat ini,” jawabnya ringkas ketika ditemui selepas mengetuai pertemuan antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Mubadala Energy di sebuah hotel di Abu Dhabi, pada Khamis.

Sebelum ini beliau mendedahkan perbincangan antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan PETROS mengenai pengagihan gas asli di Sarawak telah selesai.

Pada 31 Oktober lalu, Abang Johari memaklumkan bahawa PETRONAS telah bersetuju secara dasar dan akan menghantar surat rasmi berhubung persetujuan itu kepada Kerajaan Sarawak.

Sebelum ini, kerajaan negeri memberi tempoh tiga bulan sehingga Oktober untuk PETRONAS menyelesaikan isu pengagihan gas dengan PETROS.

Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan, Sarawak beroperasi di bawah dua undang-undang berkaitan pengagihan gas asli, iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1975 (PDA) dan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO).

Menurutnya, mulai 1 Julai tahun ini, PETROS telah diberikan kuasa penuh untuk mengawal selia pengagihan gas di Sarawak.

Bagaimanapun, PETRONAS meminta penangguhan pengambilalihan itu kerana bimbang akan menjejaskan pengagihan gas ke Loji LNG di Bintulu.

Hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Pengerusi SEB Datuk Ibrahim Baki, Pengerusi PETROS Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo, Duta Besar Malaysia ke UAE, Tengku Dato' Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin serta pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan Sarawak. - EDISI UKAS