Sarawak-Mubadala Energy Perluas Kolaborasi Dalam Minyak & Gas

Disiarkan pada 07 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


ABU DHABI: Kerjasama strategik antara Kerajaan Sarawak dan Abu Dhabi diperluaskan lagi dalam pengurusan hasil minyak dan gas di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kolaborasi tersebut melibatkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Mubadala Energy.

“Pertama dari aspek pengurusan hasil gas yang ada di Sarawak, kedua penerokaan baharu mungkin di kawasan perairan Sarawak. Ini kita akan kerjasama di antara PETROS dan PETRONAS.

“Ketiga ialah kolaborasi dari aspek aktiviti hiliran gas yang saya rasa bahawa Mubadala adalah satu-satunya syarikat minyak yang tersohor di kawasan Timur Tengah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai delegasi pertemuan antara PETROS dan Mubadala Energy di sini, pada Khamis.

Pertemuan itu bertujuan membincangkan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak serta potensi pelaburan lain Mubadala Energy di Sarawak.

Hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Pengerusi SEB Datuk Ibrahim Baki, Pengerusi PETROS Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo, Duta Besar Malaysia ke UAE, Tengku Dato' Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin serta pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan Sarawak.

Manakala delegasi Mubadala Energy diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap Pengarah Urusannya, Sheikh Mansoor Mohamed Al Hamed.

Premier Sarawak menambah, pengalaman luas syarikat milik kerajaan Abu Dhabi serta kerjasamanya dengan organisasi besar dunia disifatkan tepat dalam usaha Sarawak mengembangkan pembangunan industri gas dan petrokimia.

“Begitu juga dengan penerokaan hasil yang baharu dari sudut petrokimia, dan saya harap bahawa dengan adanya perjanjian di atara Mubadala dan PETROS, ia boleh mewujudkan satu industri di mana kita mempunyai hasil bumi dari utara hingga selatan Sarawak khususnya kawasan yang belum diterokai,” katanya.

Menurutnya, sebaik sahaja kolaborasi itu dimuktamadkan, Sarawak akan menubuhkan pejabat perhubungan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai usaha mengukuhkan kerjasama antara Sarawak dan Abu Dhabi.

Premier Sarawak mengakhiri rangka kerja rasminya ke Abu Dhabi hari ini di mana Sarawak telah memeterai beberapa kerjasama antara Sarawak Energy Berhad (SEB), Sarawak Forestry Corporation (SFC), Abu Dhabi Future Energy Company (Masdar), Gentari dan Mubadala Energy. - EDISI UKAS