KPWK Bercadang Wujudkan Pusat Kecemerlangan Generasi Muda Menjelang 2025

Disiarkan pada 07 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) bercadang untuk mewujudkan pusat kecemerlangan untuk generasi muda pada tahun hadapan.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penubuhan pusat kecemerlangan ini amat penting dalam usaha kementerian beliau membangunkan serta menggilap bakat kanak-kanak agar dapat dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.

Lebih penting lagi menurut beliau, ianya diperlukan untuk mengembangkan bakat sedia ada agar Sarawak mempunyai satu pusat khas yang berperanan mengetengahkan bakat dari usia muda hinggalah dewasa.

“Masalah sekarang adalah apabila mereka masuk ke sekolah rendah, bakat itu tidak lagi dipupuk dan diperkembangkan disebabkan peluang dan platformnya tiada.

“Sebab itulah kita jenamakan semula pusat kecemerlangan SeDidik kepada pusat kecemerlangan untuk generasi muda, maknanya bukan hanya untuk kanak-kanak Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) sahaja.

“Kita akan mulakan secara kecil-kecilan bermula tahun 2025 dengan mengenalpasti bakat yang hendak kita perkembangkan dahulu,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Pameran ‘Sarawak Preschool Kids Got Talent’ (SPKGT) Edisi Ke-7 di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Khamis.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau memberitahu program yang diadakan setiap tahun oleh KPWK ini bukan sahaja mengetengahkan bakat seperti nyanyian sahaja malah melibatkan pembangunan bakat-bakat yang lain termasuklah mewarna, bercerita dan tarian serta kategori khas kepada kanak-kanak istimewa.

“Kita perlu memberi fokus kepada perkara ini dan menggunakan sebaiknya masa yang ada untuk mencungkil kreativiti dan inovasi mereka yang mana seterusnya akan dipupuk dan bangunkan ke tahap optima,” jelas beliau.

Pada edisi kali ini, SPKGT melebarkan lagi pendekatan mereka dengan mengadakan pertandingan secara atas talian serta terbuka di empat buah daerah iaitu Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu yang mana difahamkan disertai seramai 1,681 orang kanak-kanak.

Para pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan juga dijemput ke Pameran SPKGT Edisi Ke-7 yang menampilkan hasil karya mewarna kanak-kanak yang bertanding, persembahan tarian yang memukau, nyanyian dan kepetahan kanak-kanak menyampaikan cerita.

Hadir sama, Timbalan Menteri KPWK Datuk Rosey Yunus, Setiausaha Tetap KPWK Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Semawi Mohamad, Pengurus Besar SeDidik Sdn. Bhd. Ayud Dahari dan Pengurus Besar Pusat Sehenti Intervensi Awal (OSEIC) Dato Saadiah Abdul Samat. -EDISI UKAS