ABU DHABI: Penyertaan Sarawak julung kalinya dalam Pameran & Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) 2024 membuktikan pemain global sudah mengenali peranan dan usaha wilayah ini dalam pembangunan tenaga baharu yang lestari.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata ia merupakan pengiktirafan kepada Sarawak dan Malaysia apabila dijemput menjadi panel perbincangan mengenai hala tuju hidrogen persidangan tenaga terbesar di dunia itu.
“Walaupun pertama kali Sarawak menyertai ADIPEC, pameran dan persidangan terbesar di dunia, ini bermakna pengiktirafan di peringkat global mengenai apa yang dimainkan oleh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temubual khas bersama UKAS dan TVS selepas menjadi panel jemputan dalam perbincangan tumpuan ‘Peranan Asia Dalam Menentukan Pasaran Hidrogen’
pada ADIPEC 2024 di Pusat Pameran Nasional Abu Dhabi (ADNEC) di sini pada Rabu.
Ujarnya lanjut, pemain industri utama seperti Jepun dan Korea Selatan kini melihat melihat Sarawak sebagai rakan kongsi dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
“Anda boleh melihat syarikat-syarikat yang mengambil bahagian, dan personaliti yang menyumbang kepada perbincangan itu.
“Saya rasa Sarawak sekarang telah dikenali, sebagai satu daripada pemain industri yang penting dalam pembangunan tenaga di seluruh dunia,” katanya.
Untuk rekod, ADIPEC 2024 di Pusat ADNEC kini berkembang menjadi platform teknologi tenaga utama, bukan lagi tertumpu pada sektor minyak dan gas.
Persidangan yang berakhir hari ini menyaksikan lebih banyak penyertaan pemain industri kecerdasan buatan (AI), dengan kira-kira 2,500 syarikat pempamer dan lebih 200,000 pengunjung dari seluruh dunia.
Mengiringi delegasi Sarawak ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta pegawai-pegawai tertinggi kerajaan negeri yang lain. - EDISI UKAS