Tiga Kawasan Di Konstituensi Semop Akan Dibangunkan

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



PALOH: Kawasan Paloh, Kedang dan Berangan di konstituensi Semop dan parlimen Tanjong Manis akan terus dibangunkan bagi memastikan kemajuan kawasan luar bandar.

 

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol memberitahu, beberapa projek di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) akan dilaksanakan secepat mungkin.

 

“Antaranya, projek menaik taraf jalan dalam Kampung Lot Paloh Fasa 1 bernilai RM570,000 telah dipohon dan kini menunggu kelulusan daripada pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak.

 

“Manakala di Kampung Kedang, projek bina baharu Dewan Kampung Kedang bernilai RM500,000 melalui RTP 2024 dan projek membina jeti dan akses jalan konkrit bernilai RM5 juta melalui Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) turut akan dilaksanakan.

 

“Kampung Berangan juga tidak ketinggalan dengan projek baikpulih Jalan Ban dari Dewan Masyarakat menuju ke Jeti Berangan dengan peruntukan RM400,000 yang kini telah selesai proses cabutan undi,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2024 di Kampung Paloh di sini pada Selasa. 

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu menambah, projek-projek tersebut merupakan keutamaan Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan kawasan luar bandar.

 

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abd Wahab berkata, beberapa projek tambahan melalui RADDA bagi menaik taraf kemudahan sedia ada selaras dengan projek Jalan Paloh-Tanjung Manis yang bakal dijalankan.

 

“Antara projek yang akan dilaksanakan ialah projek dermaga komersial serta jalan akses Kampung Paloh, penyambungan jeti konkrit Kampung Paloh. 

 

“Selain itu, projek menaik taraf Jalan Paloh-Kedang, membina baharu jeti nelayan Kampung Paloh dan membina baharu jambatan menuju ke Kampung Lot Paloh yang bernilai keseluruhan RM47 juta,” katanya.

 

Selepas itu, Datuk Abdullah dan Ir Yusuf melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Muda Pakeri di sini bagi meninjau kemudahan yang diperlukan berikutan isu bangunan utama sekolah yang telah disahkan tidak selamat untuk digunakan. -EDISI UKAS