Misi Delegasi SUKMA &  Para SUKMA XXI Sarawak 2024 Di Kedah Terima Respon Positif

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

KEDAH: Delegasi Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 yang membawa misi bagi penganjuran kedua-dua temasya sukan itu mendapat sokongan padu daripada kerajaan Kedah.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, pihaknya telah mengadakan kunjungan ke Pulau Pinang dan Perlis pada Isnin, manakala di Kedah pada hari ini bagi membincangkan cabaran serta persiapan bagi menghadapi kedua-dua temasya sukan itu pada Ogos depan.

"Temasya SUKMA XXI Sarawak 2024 akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan dan mendapat respon positif daripada bukan sahaja daripada Menteri Besar dan Ketua Menteri malah turut mendapat sambutan daripada Exco Belia dan Sukan serta Pengarah Majlis Sukan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selesai mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Kedah, Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman, Alor Setar Kedah pada Selasa.

Dalam pada itu, Dato Gerald Rentap berbangga kerana ketiga-tiga pemimpin utama kerajaan negeri memberi maklum balas yang baik terhadap penganjuran SUKMA & Para SUKMA XXI di Sarawak pada tahun ini.

"Kita amat berbangga kerana ketiga-tiga kerajaan negeri terbabit memberi maklum balas yang baik, malah kita yakin temasya SUKMA XXI Sarawak 2024 akan menjadi 'alat' perpaduan untuk semua rakyat Malaysia," katanya.

Hadir sama pada kunjungan hormat tersebut, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dolhadi Mazuki, Timbalan Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Nur Alina Abdullah Colliner Gohe, Ketua Penolong Setiausaha, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Jee Chin Fu serta urusetia kunjungan hormat bagi Zon Utara.-EDISI UKAS