Sarawak Sasar Lahir 500,000 Pekerja Mahir Menjelang 2030

Disiarkan pada 06 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS



MIRI: Kerajaan Sarawak menyasar untuk melahirkan seramai 500,000 pekerja mahir menjelang tahun 2030 selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

 

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, komitmen kerajaan negeri terbukti menerusi wawasan yang digariskan dalam PCDS 2030.

 

“PCDS 2030 sasar sebanyak 500,000 pekerja mahir dengan pendapatan median isi rumah sebanyak RM15,049 menjelang tahun 2030.

 

“Tenaga kerja mahir ini adalah penting bagi kemajuan Sarawak ke arah ekonomi maju menjelang tahun yang sama,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis dalam Majlis Perasmian Karnival Discover Petronas @ Schools (DPS TVET) 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri pada Rabu.

 

Menurut Dato Sri Roland Sagah, perkembangan yang digariskan dalam PCDS 2030 di bawah kementeriannya menyasarkan pembangunan tenaga kerja yang mana 60 peratus memfokuskan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan 30 peratus mahir, dengan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menyumbang dengan ketara kepada tenaga kerja mahir ini.

 

“Jelas sekali bahawa TVET menyediakan prospek kerjaya yang cemerlang, dengan graduan menikmati gaji yang kompetitif dalam sektor minyak dan gas.

 

“Kita mesti menggalakkan lebih ramai pelajar untuk mempertimbangkan pendidikan teknikal dan vokasional sebagai laluan kepada kejayaan,” jelasnya.

 

Difahamkan, seramai 180 pelajar dan guru dari 16 sekolah menengah di Miri telah menyertai karnival tersebut yang dianjurkan oleh PETRONAS.

 

Turut hadir ialah Pengurus Kanan PETRONAS Sarawak Nor Azam Abg Zawawie, Pengarah ILP Miri Ts. Mustal Makmud, Pengurus Besar PETRONAS Carigali Sdn Bhd Sarawak Asset Isrom Udau dan wakil Pejabat Pendidikan Daerah Miri Hasina Rosli. -EDISI UKAS