KUCHING: Bintulu telah dipilih sebagai tuan rumah bagi Sambutan Hari Wanita Peringkat Sarawak 2025 yang dijadualkan berlangsung pada April tahun depan.
Bertemakan ‘Equity for Community Well-being’, sambutan ini menekankan kepentingan kesejahteraan komuniti melalui prinsip kesaksamaan sosial.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah memberitahu, tema ini dipilih untuk mengetengahkan usaha memperkukuh kedudukan wanita dalam masyarakat melalui pelbagai program sokongan.
“Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) telah merancang pelbagai inisiatif yang akan memperkasa dan memajukan wanita di negeri ini.
“Untuk tahun 2025, Jabatan Wanita akan melaksanakan beberapa program khusus, termasuk penambahbaikan aspek sokongan undang-undang dan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MWKS di Wisma Wanita di sini, pada Rabu.
Sambutan Hari Wanita 2025 di Bintulu diharapkan akan menjadi platform utama bagi memperjuangkan hak wanita serta menyemarakkan kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.
Sementara itu dalam mesyuarat tersebut, Dato Sri Fatimah turut mengulas tentang usaha Bahagian Sokongan Keluarga di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak yang menyediakan bantuan kepada wanita Islam yang menghadapi isu tunggakan nafkah selepas perceraian.
Menurutnya, sistem bantuan ini telah diperbaiki untuk memastikan bekas suami menunaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak dan bekas isteri.
Sebagai langkah memperkukuh kerjasama, beliau juga menggesa Bahagian Sokongan Keluarga untuk bekerjasama rapat dengan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak.
“Empat unit utama akan diwujudkan, termasuk unit pemantauan, nasihat perundangan, penguatkuasaan dan pengurusan dana untuk melindungi hak wanita dan anak-anak yang terjejas,” tambahnya.
Di samping itu, Dato Sri Fatimah turut menyentuh berkenaan kes pembuangan bayi di Sibu yang melibatkan seorang remaja berusia 14 tahun.
“Bayi tersebut kini dalam penjagaan hospital, dan saya berterima kasih atas tindakan pantas pihak berkuasa dalam menyelamatkan nyawa bayi itu.
“Statistik menunjukkan terdapat 44 kes pembuangan bayi di Sarawak sejak 2017, termasuk enam kes pada tahun ini.
“Kami berharap program CAPS yang memberikan pendidikan mengenai keselamatan diri dan pencegahan kehamilan remaja dapat membantu mengurangkan kes ini,” ujarnya.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri KPWK Datuk Rosey Yunus, Setiausaha Tetap KWPK Datu Felicia Tan Ya Hua, Setiausaha MWKS Salmah Jobeli, Ahli Ex-Officio MWKS, Encik Riziandy Nawawi, serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS