KUCHING: Sarawak kini sedang mengorak langkah untuk merapatkan jurang dalam usaha menangani isu global menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkara ini memerlukan kepakaran dan sumber kolektif untuk memastikan penyelesaian yang dirangka bukan sahaja bersifat inovatif tetapi juga mampan dan boleh dikembangkan.
Menurutnya, usaha ini jelas dipaparkan melalui usaha Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) yang aktif mengadakan kolaborasi bersama institusi akademik, rakan industri, badan kerajaan dan organisasi bukan kerajaan (NGO) dalam mewujudkan rangka kerja kukuh untuk menterjemahkan penyelidikan kepada hasil.
“Contoh jelas yang telah dijalankan adalah program pembangunan vaksin yang dimulakan oleh Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC).
“Sebagai ahli Hab Vaksin UK SEA, program ini membolehkan pemindahan teknologi dan kepakaran dalam pembangunan vaksin dari United Kingdom ke SIDC sekaligus memupuk keupayaan tempatan dan mempertingkatkan kemampuan kita dalam bidang penghasilan vaksin,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian sempena Majlis Perasmian Simposium Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak Ke-2 di sini pada Rabu.
Selain vaksin, Datuk Patinggi Abang Zohari turut berkongsi usaha Sarawak yang semakin menyerlah dalam inovasi tenaga boleh diperbaharui dengan memanfaatkan sumber semula jadi sedia ada untuk memacu pembangunan mampan.
Menjelas lanjut, beliau berkata usaha ini amat memerlukan R&D yang berterusan dalam memastikan wilayah ini mampu mengeluarkan hasil yang optimum dalam penghasilan tenaga hijau.
“Salah satu cabaran utama dalam ekonomi hidrogen kita adalah mengurangkan kos pengeluaran namun, saya difahamkan bahawa SRDC sedang memulakan panggilan geran bertema yang memfokuskan kepada penyelidikan dan pembangunan tenaga boleh diperbaharui, dengan penekanan pada pengeluaran dan penyimpanan hidrogen.
“Inisiatif ini bukan sahaja langkah ke arah pengurangan kos pengeluaran tetapi juga komitmen untuk memanfaatkan pengetahuan dan sumber tempatan kita,” jelas beliau lagi.
Dalam majlis tersebut, Datuk Amar Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak turut menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SIDC dengan Universiti Sheffield dan Hilleman serta antara Semikonduktor Reka Bentuk Mikroelektronik Sarawak (SMD) dan Universiti Curtin Malaysia.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Penasihat Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) Datuk Amar Michael Manyin, Timbalan Pengurus Besar SRDC Dr Ivan Yap Kok Seng serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS