ABU DHABI: Kemajuan Bandar Masdar di Abu Dhabi akan dijadikan model pembangunan Bandaraya Kuching khususnya di kawasan baharu pada masa depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, langkah itu penting dalam menjadikan bandar bebas karbon itu model kepada pembangunan lestari yang dilengkapi teknologi canggih dan baharu.
“Kami melihat ada kemungkinan kita belajar mengenai kelestarian bandar ini yang boleh kita jadikan model kepada pembangunan yang hendak kita laksanakan di Bandaraya Kuching khususnya di kawasan baharu.
“Saya rasa kita boleh mencontohi apa yang telah dilaksanakan di bandar Masdar ini, kita bincangkan lagi, mungkin kita dapat bekerjasama dengan pihak Abu Dhabi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Bandar Masdar di Abu Dhabi bersama delegasi Kerajaan Sarawak pada Selasa sempena lawatan kerja rasmi ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa.
Turut serta Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Pengerusi Sarawak Energy Berhad (SEB) Datuk Ibrahim Baki.
Dalam lawatan tersebut, beliau mendapati beberapa penggunaan teknologi baharu yang dikuasakan menerusi tenaga solar, rendah karbon dan keseimbangan dalam pemuliharaan alam sekitar.
“Mereka menggunakan solar sebagai tenaga dan juga bangunannya berkisar kepada cara pembangunan mampan dan lestari.
“Saya melihat bahawa pembangunan ini mempunyai tahap yang begitu tinggi dari aspek menjaga alam sekitar dan juga yang mana ia menjadi rendah karbon dan dibangunkan institusi pengajian tinggi, komersial yang canggih dan juga pentadbiran,” ujarnya.
Tambah beliau, model yang dibangunkan Abu Dhabi di bandar lestari itu mampu mengubah landskap pembangunan di Sarawak ke arah kelestarian.
Dalam masa sama, beliau membayangkan potensi kerjasama antara Sarawak dan Abu Dhabi dalam meneroka ekonomi baharu.
Justeru katanya, beliau akan membawa perkara itu ke dalam Kabinet Sarawak untuk perbincangan lanjut mengenai hala tuju kerjasama dua hala tersebut.
Semasa lawatan itu, Premier Sarawak bersama delegasi berpeluang menaiki Personal Rapid Transit (PRT), kenderaan autonomous elektrik tanpa pemandu.
Mereka juga diberi taklimat oleh Ketua Perolehan dan Kontrak, Bandar Masdar, Suwaid Al Badi mengenai pembangunan di bandar tersebut.
Turut serta ialah Pengerusi Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SEB Datuk Sharbini Suhaili serta pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan Sarawak. - EDISI UKAS