Budaya Rumah Terbuka Aidilfitri Pupuk Semangat Perpaduan Antara Masyarakat

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


DARO: Budaya penganjuran Majlis Ramah Tamah yang diadakan oleh setiap kampung dilihat menjadi platform terbaik dalam memupuk semangat perpaduan antara masyarakat.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad berkata, dengan adanya acara ramah tamah seperti ini, masyarakat dapat bertemu antara satu sama lain dan seterusnya bersalaman memohon maaf.
 
“Sebab itu kita adakan majlis ini kerana kita paham bahawa waktu raya tidak semua kita dapat menziarah rumah jiran-jiran sekampung.
 
“Kita dapat kekal budaya ini supaya perpaduan akan terus utuh terjalin,” katanya dalam Majlis Belangger Raya 1445H/2024M di Dewan Kampung Masjid Daro pada Isnin.
 
Sehubungan itu jelasnya, dengan pembangunan yang ada di kawasan kampung masjid itu, ia turut menerima limpahan pembangunan yang berlaku.
 
Jelasnya, ini kerana Kampung Masjid adalah yang paling terdekat dengan pekan Daro.
 
“Pembinaan Pusat Sumber Digital yang telah diumumkan oleh Premier Sarawak yang lepas juga akan memberi manfaat kepada anak-anak kita terutamanya penduduk kampung masjid ini.
 
“Pusat Sumber ini akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuklah kemudahan digital,” ujar  Safiee.
 
Hadir sama Pegawai Daerah Daro Zul Usup, Ketua Kaum Kampung Masjid Hilir Mokhtar Hasim, Ketua Kaum Kampung Masjid Baru Hilir Suzianna Daya, Pemanca Lau Oi Phen, Penghulu Bahiri Selakong serta tetamu lain.-EDISI UKAS