Jelajah Taklimat Program SEJATI MADANI, Pantu Bersedia Pacu Ekonomi Komuniti

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


PANTU: Taklimat Program Sejahtera Komuniti Madani (SEJATI MADANI) Daerah Pantu telah diadakan di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Pantu pada Selasa.

Taklimat ini tidak hanya melibatkan pihak berkuasa tempatan, tetapi juga masyarakat sekitar iaitu dengan penglibatan 38 Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung dari kawasan N.30 Balai Ringin dan N.31 Bukit Begunan.

Mereka turut diberi penerangan secara langsung oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Pembangunan Sosioekonomi, Norisal Saili serta Mohd Shapik dari PMS.

Inisiatif baharu Kerajaan MADANI ini, SEJATI MADANI, bertujuan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi di peringkat komuniti.

Lebih menarik, program ini menyalurkan dana sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak yang bukan sahaja memberi dorongan kepada usahawan tempatan tetapi juga mewujudkan peluang baru dalam pelbagai sektor.

Sekretariat SEJATI MADANI turut mengedarkan Kit SEJATI MADANI dalam format PDF yang mengandungi Garis Panduan, Soalan-Soalan Lazim (FAQ), Manual penggunaan sistem SEJATI MADANI, Maklumat Pegawai Perhubungan, serta video promosi program.

Langkah ini memberi kemudahan kepada semua pihak dalam memahami dan mengikuti perkembangan program ini.

Program SEJATI MADANI membuka peluang baru dan membangkitkan semangat keusahawanan dalam kalangan komuniti Pantu. -EDISI UKAS