Buku Panduan Import Pertanian Perkukuh Biosekuriti Sarawak

Disiarkan pada 05 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Pengenalan buku Garis Panduan Pengimportan Tumbuhan, Produk Tumbuhan dan Artikel Terkawal atau ‘Guidelines for Importation of Plants, Plant Products and Regulated Articles’ akan memperkukuhkan langkah kawalan biosekuriti di Sarawak.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, garis panduan ini akan menjadi rujukan penting bagi pengimport dan pengeksport dalam memastikan setiap produk pertanian yang memasuki Sarawak memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang telah ditetapkan.

Beliau menjelaskan, langkah ini diambil berikutan risiko kemasukan serangga perosak yang berpotensi merosakkan tanaman utama seperti durian, pisang, kelapa, nanas dan lada.

“Langkah pencegahan ini penting bagi memastikan kita tidak mengalami masalah yang sama seperti serangan ‘citrus greening disease’ pada 2007 yang merosakkan lebih 1,200 hektar ladang limau di Samarahan.

“Hingga kini, kesan serangan tersebut masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Libat Urus Fasilitasi Perdagangan Pertanian 2024 dan Pelancaran Buku Garis Panduan Pengimportan Tumbuhan, Produk Tumbuhan dan Artikel Terkawal di sebuah hotel terkemuka di sini pada Selasa.

Ujarnya, garis panduan ini turut menyokong sasaran Sarawak untuk menjadi pengeksport makanan bersih menjelang 2030.

Meskipun wilayah ini berhasrat mengurangkan kebergantungan kepada produk import, Datuk Dr. Abdul Rahman mengakui terdapat keperluan untuk mengimport produk tertentu demi menampung permintaan yang tidak dapat dipenuhi oleh pengeluar tempatan.

“Sebagai contoh, kita dapat menghasilkan cili di Sarawak, tetapi kerap kali cili diimport dalam jumlah besar, terutamanya dari Vietnam, bagi menampung kekurangan bekalan.

“Keadaan ini menjejaskan pasaran petani tempatan, dan kita perlu memastikan produk import tidak mengganggu pengeluaran serta pendapatan petani kita,” tambah beliau.

Sejak pelancaran garis panduan ini, beberapa sesi jerayawara telah diadakan di Sibu, Miri, Lawas, dan Kuching untuk memperkenalkannya kepada pihak berkepentingan.

Sehubungan itu, Datuk Dr. Abdul Rahman turut menyeru kerjasama antara agensi kerajaan, pengimport dan masyarakat umum dalam memastikan biosekuriti Sarawak terjaga.

Menurut beliau, penguatkuasaan undang-undang yang konsisten dan kesedaran awam adalah kunci utama bagi mencegah serangan perosak luar yang boleh memberi kesan negatif terhadap hasil tanaman dan pendapatan petani tempatan.

Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datu Sirai Daha, Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Radziah Jack serta tetamu lain. -EDISI UKAS