Program Sejahtera Komuniti MADANI Di Sri Aman

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SIMANGGANG: Program Sejahtera Komuniti MADANI yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah Sri Aman telah dilaksanakan di Dewan Suarah Sri Aman pada Selasa.

Program ini dihadiri oleh 12 Ketua Masyarakat dan 149 Ketua Kaum dari pelbagai kaum seperti Iban, Melayu, dan Cina.

Peserta diberi taklimat oleh Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang dan Ketua Penolong Pegawai, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Radiah Muhamed, tentang fungsi dan tanggungjawab Pejabat Daerah serta Program SejaTI MADANI yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 13 Oktober 2023.

Tujuan Program SejaTI MADANI adalah untuk memperkasa aktiviti ekonomi komuniti, meningkatkan pendapatan penduduk setempat dan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti.

Para peserta terutamanya pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta untuk melibatkan ahli-ahli JKKK dan penduduk setempat dalam merancang dan melaksanakan program-program pembangunan di kawasan masing-masing.

Dalam konteks kerjasama untuk kepentingan komuniti, penduduk setempat di Daerah Sri Aman telah menunjukkan kesediaan mereka untuk bekerjasama, terutamanya dalam menghadapi isu Rabies dan wabak penyakit yang dibawa oleh nyamuk Aedes.

Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum diminta untuk menyokong program-program kerajaan yang bertujuan meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan rakyat setempat, seiring dengan pembangunan budaya dan ekonomi negeri Sarawak. -EDISI UKAS