Sokongan UNIMAS Pacu Potensi Sarawak Sebagai Pusat Tenaga Hijau

Disiarkan pada 05 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus memainkan peranan dalam menyokong usaha memacu potensi Sarawak sebagai pusat tenaga hijau di Malaysia.

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, kolaborasi strategik dengan UNIMAS terutamanya dalam aspek penyelidikan akan merealisasikan hasrat Sarawak untuk menjadi pembekal utama hidrogen bersih di negara ini.

“Sarawak berpotensi menjadi pusat tenaga hijau di Malaysia, khususnya dalam bidang hidrogen dan tenaga boleh diperbaharui yang lain seperti hidro, solar dan juga baru-baru ini satu sumber tenaga baharu yang berpotensi iaitu tenaga terma laut.

“Dengan sokongan UNIMAS dalam penyelidikan tenaga hijau, kita optimis dapat merealisasikan hasrat menjadikan Sarawak sebagai pembekal utama hidrogen bersih di Malaysia sekali gus membantu negara kita mencapai kelestarian alam sekitar,” katanya semasa berucap menyempurnakan Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-28 di sini pada Selasa.

Sementara itu, beliau yang juga Pro-Canselor UNIMAS berkata, kerajaan Sarawak melihat autonomi pendidikan sebagai langkah penting bagi memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak Sarawak.

Datuk Amar Douglas Uggah memberitahu, autonomi penuh dalam bidang pendidikan akan menyediakan ruang untuk merangka program yang lebih relevan dengan keperluan setempat, melahirkan modal insan kelas pertama serta memperkukuh pencapaian para pelajar di semua peringkat.

“Dalam hal ini, peranan UNIMAS adalah kritikal dan saya amat menghargai komitmen universiti ini dalam menyediakan program pengajian yang berdaya saing untuk semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang kurang bernasib baik,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyeru agar para graduan universiti tersebut memainkan peranan aktif dalam menyumbang ke arah kemajuan Sarawak.

“Manfaatkan ilmu dan kemahiran yang telah anda pelajari di UNIMAS untuk membina masa depan yang lebih cerah bagi wilayah ini, keluarga anda dan generasi akan datang,” katanya.

Turut hadir ialah Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS