DARO: Program Randau Solidariti Komuniti (PRSK) berperanan memupuk perpaduan dan solidariti dalam memastikan kestabilan ekonomi, sosial, dan politik di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, objektif penganjuran program itu sejajar dengan matlamat Kerajaan Sarawak untuk mencapai status negeri maju dan pembangunan seimbang menjelang 2030.
"Program PRSK menjadi inisiatif tahunan Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) di setiap daerah di Sarawak untuk merapatkan hubungan antara komuniti dan agensi kerajaan melalui aktiviti sosial yang membina," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan PRSK Bahagian Mukah Peringkat Daerah Daro di sini, pada Ahad.
Safiee menambah, program tersebut juga bertujuan memupuk perpaduan, memperkukuh keharmonian sosial, serta menggalakkan kolaborasi antara pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat dalam menangani cabaran sosial.
Ujarnya, pada tahun lepas sebanyak sembilan siri PRSK telah dilaksanakan, manakala tahun ini, 33 siri dirancang bagi memperkukuh integrasi dan kerjasama antara komuniti yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, dan peringkat umur.
Hadir sama pada majlis tersebut Pegawai Daerah Daro Zul Usup, wakil MPS-KPWK Anwar Fakhriyuddin Matamit, Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos dan Pemanca Lau Oi Phen.-EDISI UKAS