ENGKELILI: Sebanyak 70 projek pembangunan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion telah diluluskan untuk Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dalam membangunkan kawasan tersebut secara keseluruhannya.
Pengerusinya, Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, kelulusan projek tersebut diambil kira meliputi pelbagai sektor dan keperluan dalam membangunkan Sri Aman.
"Secara keseluruhannya, SADA telah meluluskan 70 projek pembangunan yang merangkumi pembangunan infrastruktur, pertanian, ekonomi dan sosial berjumlah RM1.4 bilion setakat Oktober 2024," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Jerayawara SADA Bersama Masyarakat Engkilili di Dewan Serba Guna MDLA, Engkilili di sini pada Ahad.
Dari segi agihan peruntukan ujarnya, pembangunan infrastruktur khususnya jalan raya, pengairan dan saliran telah diberi peruntukan terbanyak dan setakat ini lebih RM900 juta telah diberikan untuk membiayai projek tersebut.
Selain itu, Dato Sri Rohani menambah, peruntukan tersebut juga untuk membangunkan infrastruktur pelancongan di kawasan Gunung Lesung Eco Tourism Complex dan Batang Ai National Park Ecotourism Complex.
Dalam pada itu, Jerayawara SADA yang diadakan adalah untuk meningkatkan kefahaman tentang fungsi dan peranan SADA dalam perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan serta bagaimana masyarakat tempatan boleh melibatkan diri lebih aktif dalam pembangunan di kawasan masing-masing. -EDISI UKAS