RM200 Juta Diperuntuk Bagi Projek Jalan Kampung Limpaku Pinang 

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


LIMBANG: Sebanyak RM200 juta telah diperuntukkan bagi projek jalan Kampung Limpaku Pinang telah diluluskan dibawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah berkata, beliau telah memohon kepada KPLB untuk membina jalan ke kampung ini.

"Projek ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran selaku agensi yang bertanggungjawab. 

"Untuk mempercepatkan pelaksanaan projek ini kita akan menggunakan reka bentuk jalan yang buat oleh pihak Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) yang dahulunya merancang untuk melaksanakan projek ini, jadi pada masa ini reka bentuknya sudah siap."

Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bertempat di Sekolah Kebangsaan Limpaku Pinang di Limbang pada Isnin.

Katanya, jalan tersebut akan bermula dari Jambatan Sungai Limbang 2 di Kampung Pabahanan menuju ke kampung berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Limbang menambah, apabila jalan ini siap nanti sudah pasti para penduduk akan menggunakan jalan darat untuk ke bandar Limbang dan menggunakan perahu yang ada sekarang hanya untuk mencari hasil tangkapan ikan ke laut sahaja.

Justeru itu, apabila jalan raya sudah ada kelak, bekalan air bersih akan disalurkan mengikut laluan jalan tersebut sekaligus menyelesaikan isu masalah bekalan air.

Hadir sama Ketua Kampung Limpaku Pinang Simatzaman Sapar, Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Limpaku Pinang Hakimi Abdullah, Pemangku Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya  (JKR) Bahagian Limbang Mahathir Jokeni, Pengarah Hospital Limbang Dr Syed Satahkatulah Mohamed Kalik, Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang Ramlan Marajan dan Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Limbang Ir Mohamad Salman Mohamad Bustamam. -EDISI UKAS