Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Erat Hubungan Masyarakat Pelbagai Kaum Dan Agama

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



BETONG: Majlis ramah-tamah Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Kampung Medang, Spaoh memberi peluang untuk mengeratkan hubungan sesama masyarakat di situ tanpa mengira agama dan budaya.
 
Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu berkata, semangat sebegini amat penting di sesebuah komuniti kerana kerjasama dan perpaduan akan memudahkan segala urusan yang dijalankan di sesebuah kampung.
 
“Semoga Hari Raya dan bulan Syawal ini akan membawa keberkatan dan kebahagiaan kepada seluruh warga Kampung Medang. Semoga tahun-tahun yang akan datang kita akan terus maju jaya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2024 di Kampung Medang, Spaoh pada Khamis.
 
Sehubungan itu, beliau menyatakan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa projek yang telah beliau usahakan.
 
Antaranya adalah menaiktaraf bangunan Tabika KEMAS dengan kos RM40,000 yang kini di dalam proses perolehan.
 
Manakala, projek membina dataran kejat di Sekolah Kebangsaan (SK) Medang pula telah siap dilaksanakan melalui pihak Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) SK Medang dengan kos RM50,000.
 
“Saya juga memahami, masih banyak lagi yang diperlukan.
 
“Oleh itu, mohon pihak Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK), pihak PIBG dan pihak Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk kenal pasti dan kemukakan permohonan keperluan itu secara bertulis bagi dipertimbangkan di dalam perancangan projek khasnya untuk Kampung Medang,” ujar beliau. -EDISI UKAS