DBKU Perkukuh Kerjasama Komuniti Melalui Bengkel Pemerkasaan Kejiranan Mesra 2024

Disiarkan pada 04 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Bengkel Pemerkasaan Kejiranan Mesra (KJM) yang dianjurkan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menjadi sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh kepimpinan dalam komuniti setempat.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, inisiatif ini selari dengan misi DBKU untuk menjadikan Kuching sebuah bandar yang Bersih, Cantik, Selamat, Pintar, dan Lestari.

Jelasnya, platform ini bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran komuniti, malah turut memberikan inspirasi dalam menyampaikan perkhidmatan yang lebih baik dan mesra kepada rakyat.

“Bengkel seperti ini membuka peluang untuk kita berinteraksi, berkongsi idea, dan meningkatkan kerjasama antara penduduk dengan DBKU dalam aspek keselamatan, kebersihan, dan kesejahteraan bandar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penangguhan Bengkel Pemerkasaan Kejiranan Mesra (KJM) DBKU bertempat di sini, pada Isnin.

Bengkel tersebut diadakan selama tiga hari bermula 2 hingga 4 November 2024 bertujuan untuk membantu pemimpin-pemimpin KJM merangka kalendar aktiviti bagi tahun 2025 serta menetapkan halatuju strategik bagi mempertingkatkan kesejahteraan bandar.

Sebanyak 54 kumpulan KJM yang terdiri daripada pengerusi dan ahli jawatankuasa setiap KJM, berhimpun untuk bertukar idea dan berkongsi pandangan dalam perancangan masa depan.

Selain itu, bengkel ini juga menyediakan platform kepada komuniti untuk berinteraksi dengan DBKU dalam memastikan aspek keselamatan, kebersihan, dan kesejahteraan bandar terus terpelihara.

Dalam masa yang sama, pelbagai pengisian sepanjang bengkel itu diadakan termasuk sesi santai bersama Datuk Bandar DBKU, taklimat khas bagi Pemerkasaan KJM DBKU 2025, Program Gabungan Khas KJM DBKU 2025 serta perbincangan perancangan aktiviti untuk tahun hadapan.

Hadir sama Datuk Bandaraya Kuching Utara, Dato Hilmy Othman, Pemangku Pengarah DBKU Salwa Pauzi, pegawai-pegawai kanan DBKU, dan pengerusi-pengerusi KJM DBKU. -EDISI UKAS