SIBU: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) menjadi platform meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pendidikan dan perancangan kerjaya bagi belia Sarawak.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah TEGAS Datuk Ding Kuong Hiing berkata, menerusi inisiatif seperti Pameran Karier dan Latihan Sarawak (SCaT) 2024 dapat membantu pelajar, pencari kerja dan profesional muda mempunyai akses kepada maklumat dan peluang penting.
"Platform ini membantu individu untuk terlibat secara langsung dengan universiti, kolej, pusat latihan dan penyedia bantuan kewangan.
"TEGAS berusaha untuk memperkasakan belia kita dengan pengetahuan dan sumber yang diperlukan untuk mereka membuat keputusan terkini mengenai pendidikan dan laluan kerjaya mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan dan Penyampaian hadiah SCaT 2024 di Stadium Tertutup Sibu di sini pada Ahad.
Pameran SCaT edisi Ke-10 di Sibu kali ini telah menerima seramai 7,974 pengunjung.
Menurut Datuk Ding, Pameran SCaT berfungsi sebagai pusat sehenti untuk pelajar, belia, ibu bapa dan semua masyarakat untuk mengakses maklumat terkini berkaitan pendidikan, peluang kerjaya dan perkhidmatan bantuan kewangan yang disediakan oleh agensi yang mengambil bahagian.
Ujarnya, bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), pameran ini menawarkan platform meneroka program akademik dari universiti, kolej, politeknik, dan pusat latihan vokasional.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong itu juga berkata, pendedahan sebegini adalah penting untuk membantu pelajar membuat pilihan yang menyeluruh mengenai pendidikan dan laluan kerjaya mereka.
Pada program tersebut, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bekerjasama dengan 30 syarikat menawarkan 1,000 kekosongan jawatan pelbagai sektor.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap MEITD, Anielia Siam, Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS Udin Bujang serta yang lain.-EDISI UKAS