Jadikan Budaya Membaca Gaya Hidup Kalangan Rakyat Malaysia

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Budaya membaca wajar dijadikan sebagai salah satu gaya hidup dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, amalan membaca adalah langkah pertama kepada segala kemajuan dan menjadikan manusia lebih berdaya maju dan matang dari segi pemikiran. 

"Kemajuan negara dan sekolah serta ketamadunan bangsa dapat dikembangkan dan dipertingkatkan jika bangsa berfikiran tinggi yang lahir dari amalan membaca.

"Masyarakat yang suka membaca adalah masyarakat yang cintakan ilmu.

"Dengan adanya masyarakat yang berbudaya membaca, negara kita akan mempunyai rakyat yang berminda aktif, kreatif dan berfikiran untuk berinovasi selain mengaktifkan minda mereka untuk berfikir dengan lebih waras, fokus, berfikiran terbuka dan mampu melahirkan warganegara yang berkebolehan melihat sesuatu daripada pelbagai perspektif berbeza," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Program Jom Baca Bersama 10 minit bertempat di Perpustakaan Awam Bintulu disini pada Selasa.

Menurutnya, suasana riadah minda melalui penganjuran pelbagai program galakan membaca seperti Program Jom Baca Bersama 10 Minit ini dapat menambah ilmu pengetahuan kepada masyarakat kerana bangsa yang membaca adalah bangsa yang berjaya. 

Program ini turut menyokong perpaduan negara melalui penglibatan semua rakyat Malaysia tanpa mengira batasan kaum dalam menjayakan program pembacaan secara bersama. 

Hal ini kerana, amalan membaca sebagai teras pencarian ilmu adalah asas dalam membangunkan bakat, kebolehan serta daya saing rakyat dari segi fizikal dan intelek untuk kemajuan negara.

Hadir sama Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu Datu Muhammad Yakup Kari, Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak Miri Razak Rambili, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu (Sektor Pembelajaran) Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu Nafisah Rosli, Ketua Masyarakat Daerah Bintulu Kawasan Samalaju Penghulu Raini Piee dan wakil Residen Bahagian Bintulu Haslina Bujang. -EDISI UKAS