PUSA: Sekolah merupakan asas bagi melahirkan jaguh sukan yang boleh mengharumkan nama negara di persada dunia.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, sokongan dan dorongan ibu bapa dalam perkembangan anak amat diperlukan untuk melahirkan generasi yang bijak pandai serta sihat dalam memacu pembangunan negara kelak.
Katanya, dengan kemajuan dan pendapatan yang dimiliki oleh Sarawak pada masa ini diharapkan semua masyarakat terus bersatu padu membantu kerajaan dalam menyediakan infrastruktur yang berkualiti.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan(SK) Batang Maro di sini, pada Sabtu.
Pada majlis yang sama Mohamad Shafizan turut memberikan sumbangan RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SK Batang Maro (RM5,000), Masjid (RM5,000), Jawatankuasa Kampung (JKK), (RM2,000) dan mengumumkan untuk menambahbaik infrastuktur di SK Batang Maro.
Hadir sama, Guru Besar SK Batang Maro, Ahmad Alli, Yang Dipertua PIBG SK Batang Maro, Malek Redzuan Napri, Ketua Kampung Batang Maro, Allen Aran dan tetamu yang lain.-EDISI UKAS