Pembangunan Di Bawah IRSDA Kini Capai 79 Peratus

Posted on 23 Apr 2024
Source of News: UKAS



KUCHING: Pelaksanaan pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) kini telah mencapai tahap 79 peratus secara fizikal. 

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemandu IRSDA, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setiap agensi pembangunan telah disalurkan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion. 

Menurut beliau, projek-projek tambatan di tepi laut seperti di Asajaya, Sadong Jaya, Simunjan, Sebangan dan sebagainya yang melibatkan kos lebih RM600 juta kini sudah siap sepenuhnya. 

“Bagi kawasan IRSDA, semuanya berjalan dengan baik, dari segi projek prasarana sudah dijalankan 79 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Ramah-tamah Aidilfitri Jawatankuasa Pemandu IRSDA di Bangunan Baitulmakmur II di sini pada Selasa. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu menambah, salah satu projek yang kini sedang dirancang ialah projek Boulevard di Kota Samarahan yang akan menjadi kebanggaan rakyat Sarawak. 

Projek Boulevard Samarahan yang sepanjang dua kilometer dengan lebar 26 meter itu menelan belanja lebih RM100 juta.

Terdahulu, turut berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu IRSDA Bil. 1/2024 yang membincangkan status terkini pelaksanaan projek-projek IRSDA oleh setiap Jawatankuasa Kecil IRSDA. 

Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir. Aidel Lariwoo, ADUN Simunjan Awla Dris dan Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang. -EDISI UKAS