SANTUBONG: Program P.193 Santubong Sports League 2024 adalah usaha berterusan pihak Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Santubong untuk menggalakkan rakyat mengamalkan budaya hidup sihat cergas dan aktif.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri yakin program yang telah dirancang ini dapat mencapai hasrat mengalakkan masyarakat bersukan sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat.
“Ini tidak lain bertujuan untuk membudayakan sukan dalam kehidupan seharian bagi memastikan semua pihak mengamalkan gaya hidup sihat.
“Hanya dengan kesihatan yang baik kita akan mencapai semua hasrat untuk hidup yang lebih produktif dan ceria,” katanya ketika merasmikan Santubong Sports League 2024 untuk Pertandingan Badminton Beregu Wanita Peringkat Parlimen Santubong di Politeknik Kuching pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong menambah, pembudayaan sukan juga penting untuk tujuan meningkatkan tahap kecergasan fizikal dan mental masyarakat, mengenalpasti bakat sukan, meningkatkan produktiviti, menjana kesejahteraan dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan warga Santubong.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Pertandingan Badminton Beregu Wanita itu akan menjadi satu medium bagi menerapkan gaya hidup aktif dan cergas sepanjang hayat dalam kalangan warga belia dan wanita serta pelajar PKS di Parlimen Santubong.
“Kehidupan yang sihat dengan bersukan dan pemakanan yang betul akan mampu menurunkan kadar penyakit kronik dikalangan pada wanita dan seterusnya meningkatkan jangka hayat rakyat Sarawak pada masa akan datang,” katanya.
Pertandingan badminton kali ini menyaksikan penyertaan sebanyak 26 regu. -EDISI UKAS