Mukah Berpotensi Lahir Atlet Wushu

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



MUKAH: Mukah berpotensi untuk melahirkan atlet wushu bagi mengambil bahagian dalam kejohanan antarabangsa pada masa hadapan.

 

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine menyeru atlet muda untuk memanfaatkan latihan agar terus berjaya dalam bidang yang diceburi ini.

 

“Ini adalah atlet yang akan mewakili Sarawak dalam Sukan Malaysia (SUKMA) dalam tempoh dua tahun lagi, saya yakin kerana melihat komitmen pelatih dan jurulatih, kelab serta sistem sokongan yang ada,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutupan Kem Wushu Sanda, Wushu Taolu Peringkat Zon Tengah di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chong Boon di Mukah pada Ahad.

 

Royston menambah, beliau akan berusaha memohon pembinaan stadium tertutup untuk Mukah yang lengkap dengan fasiliti bagi keperluan sukan seperti ini dan menyediakan lokasi yang baik untuk latihan dan pertandingan yang besar bagi kawasan Mukah dan Sarawak amnya.

 

“Aktiviti dan sukan seperti tarian singa, tarian naga dan wushu adalah terbuka kepada semua kaum dan bangsa dalam penyertaannya.

 

“Keharmonian dan semangat kesukanan ini harus dipertahankan dalam masyarakat yang pelbagai kaum dan agama,” ujarnya.

 

Untuk rekod, pasukan daripada Bahagian Mukah telah muncul johan dalam Pertandingan Tarian Singa, Naga dan Wushu Peringkat Sarawak 2022 dengan pasukan yang terdiri daripada hampir 70 peratus kaum Bumiputera.

 

Turut hadir ialah Pengerusi Kelab Tarian Singa, Naga dan Wushu Bahagian Mukah Ho Ing Siong. -EDISI UKAS