Perpaduan & Integrasi Ramuan Utama Capai Kestabilan Ekonomi, Sosial & Politik

Disiarkan pada 03 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


ASAJAYA: Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS), Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) telah mengadakan program Randau Solidariti Komuniti (RSK) Bahagian Samarahan peringkat daerah Asajaya dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Samarahan dan agensi kerajaan di Dewan Serbaguna Kampung Moyan Laut, Asajaya pada Sabtu.

Program telah bermula pada sebelah pagi dengan acara jom senam sihat yang dikendalikan oleh Family Fitness Samarahan.

Pameran agensi turut diadakan di dalam dewan tersebut sebagai salah satu inisiatif untuk memberi pendedahan dan maklumat berkaitan fungsi dan manfaat agensi kepada penduduk luar bandar.

Acara majlis penangguhan telah dirasmikan oleh Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat.

Menurut beliau, perpaduan dan integrasi adalah ramuan utama untuk mencapai kestabilan ekonomi, sosial dan politik dalam sesebuah masyarakat majmuk.

“Perpaduan tidak datang bergolek kerana ianya perlu dipupuk dan ditanam dalam sanubari komuniti kita sejak kecil lagi supaya nilai tersebut dapat dihayati sepanjang hayat.

“Melalui aktiviti solidariti komuniti, perkongsian bersama agensi dan sesi refleksi pembangunan sosial yang dilaksanakan, saya percaya para peserta sudah dapat menghayati akan nilai dan kepentingan hubungan baik agar hubungan berkualiti dapat ditingkatkan tanpa mengira jantina, peringkat umur, etnik dan agama,” katanya.

Oleh itu, beliau menyeru agar masyarakat terus memupuk perpaduan dan solidariti dalam kepelbagaian demi meningkatkan kesejahteraan komuniti khususnya di Daerah Asajaya dan amnya di Sarawak.

Beliau juga berharap semoga program ini dapat mencetus kesedaran dan penghayatan masyarakat tentang nilai perpaduan, pembangunan sosial dan kesejahteraan komuniti.

Dalam majlis sama, turut diadakan penyampaian hadiah bagi acara sukan dan pertandingan karaoke yang telah diadakan bermula awal pagi.

Turut hadir, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang, Penghulu Kampung Moyan Laut Gani Awi serta tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS