MB Terengganu Sambut Baik Kunjungan Hormat Delegasi SUKMA & Para SUKMA XXI Sarawak 2024

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyambut baik kedatangan rombongan delegasi Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 untuk menyampaikan watikah jemputan buat kerajaan Negeri Terengganu untuk menyertai kedua-dua temasya sukan itu pada Ogos dan September nanti.
 
Kunjungan hormat delegasi kerajaan Sarawak yang diketuai oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam serta dihadiri Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat itu dibuat di pejabat Menteri Besar Terengganu pada Selasa.
 
Seramai 800 orang atlet Terengganu akan menyertai SUKMA di Sarawak kali ini manakala 93 orang atlet akan menyertai Para SUKMA pada September nanti.
 
Sementara itu, Dato' Seri Dr Ahmad berkata, semua atlet SUKMA dan Para SUKMA Terengganu akan memberikan yang terbaik dalam kejohanan pada tahun ini sekalipun menyedari persaingan kali ini sangat mencabar.
 
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan tahniah kepada kerajaan Sarawak sebagai tuan rumah penganjuran temasya kali ini.
 
“Semoga persaingan sukan akan membuahkan hasil persaudaraan yang lebih kukuh antara rakyat Malaysia,” ujar beliau.-EDISI UKAS