3000 Hadir Majlis Perasmian Bola Sepak Terbuka Piala Datuk Amar Awang Tengah

Disiarkan pada 02 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


LAWAS: Seramai 3,000 orang hadir memeriahkan Majlis Perasmian Bola Sepak Terbuka Piala Datuk Amar Awang Tengah yang berlangsung di Stadium Lawas pada Jumaat.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang memberikan dorongan dan semangat kepada para peserta yang bakal beraksi dalam kejohanan ini.

Datuk Amar Awang Tengah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari, dalam ucapannya menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak dalam mencungkil bakat baharu di kalangan anak muda sebagai langkah penting dalam pembangunan sukan negeri.

“Kita akan terus mencungkil bakat-bakat baru agar mereka berpotensi bukan sahaja mewakili negeri masing-masing, tetapi juga negara dalam kejohanan yang lebih besar pada masa hadapan,” ujarnya.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada semua Ahli Jawatankuasa (AJK) yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran penganjuran kejohanan pada tahun ini.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa kemudahan sukan di Lawas akan terus dipertingkatkan bagi menyokong lebih banyak aktiviti sukan demi manfaat komuniti dan pembangunan atlet tempatan.

Kejohanan yang berlangsung dari 1 hingga 3 November ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti cabutan bertuah, di mana hadiah menarik termasuk motosikal disediakan untuk pengunjung.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok, Pengarah NRDA, Dato Ubaidillah Abdul Latif, dan Ketua Pemuda PBB Cawangan Bukit Sari, Tali Basir. – EDISI UKAS