KUCHING: Festival Gendang Sarawak (FGS) 2024 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) membuka tirainya dengan penuh kemeriahan di Tebingan Sungai Kuching, pada Jumaat.
Penganjuran kali ke-13 itu telah dirasmikan oleh Yang Di Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri. Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, antara pengisian menarik festival tersebut adalah Pertandingan Gendang Melayu Sarawak.
Menurutnya, selain kumpulan bergendang peringkat zon dan bahagian di Sarawak, edisi kali ini turut melibatkan penyertaan kumpulan dari negara jiran iaitu Brunei Darussalam bagi merebut gelaran Johan Pertandingan Gendang Melayu Sarawak 2024.
"Pertandingan Gendang Melayu Sarawak ini telah menjadi satu pertandingan yang ditunggu-tunggu sejak saban tahun oleh masyarakat Sarawak, yang mana seni warisan ini telah dipelihara sejak zaman berzaman dan kembali dipertontonkan kepada masyarakat untuk dikenang dan diangkat ke peringkat yang lebih tinggi.
"Bila ada penganjuran program berskala besar, peniaga- peniaga kecil, premis-premis perniagaan serta industri perhotelan secara tidak langsung akan mendapat impak yang positif dimana mereka akan berupaya melipat gandakan pulangan hasil pendapatan dan seterusnya menyumbang kepada pendapatan dan hasil dalam negeri melalui aktiviti pelancongan budaya ini,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian tersebut yang disusuli dengan Pertandingan Akhir Gendang Melayu Sarawak.
Terdapat dua kategori dipertandingkan iaitu Bergendang Secara Kumpulan (Dewasa) dan Tandak (Kanak-Kanak) Berpasangan.
Johan kategori dewasa membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000, naib johan RM4,000 dan tempat ketiga RM3,000.
Manakala kategori kanak-kanak, johan menerima wang tunai berjumlah RM,1000, naib johan RM800 dan tempat ketiga RM600.
FGS 2024 yang berlangsung selama tiga hari dari 1 hingga 3 November ini merupakan program sinergi antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), bersempena dengan Sarawak Regatta – Kuching Waterfront Festival 2024.
Turut hadir ialah isteri Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC Dato' Shaharuddin Abu Sohot, Setiausaha Tetap MTCP Datu Sherina Husaini, Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris, Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi, Pengarah JKKN Sarawak Noor Seela Noor Sulaiman serta kenamaan yang lain.-Edisi UKAS