Royston Iltizam Laksana Tanggungjawab Dengan Baik Terhadap Rakyat Di Tellian

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine beriltizam akan terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat dengan lebih kerap turun padang untuk melihat sendiri isu rakyat, memantau projek dan mendekatkan diri dengan rakyat di kawasannya.

Katanya, beliau akan melihat sendiri permasalahan serta memantau projek-projek pembangunan yang sedang dilaksanakan.

“Setakat ini, saya kerap ke kawasan Kampung Penat dan kawasan sekitar N.57 Tellian, untuk melihat sendiri permasalahan serta memantau projek-projek pembangunan yang sedang dilaksanakan.

“Di samping itu, merapatkan silaturahim saya bersama masyarakat. Itulah tanggungjawab yang saya untuk rakyat dan kawasan N.57 Tellian khususnya,” katanya semasa menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Masjid Darul Falah yang dianjurkan bersama oleh JK Masjid Darul Falah dan SABERKAS Kg. Penat baru-baru ini.

Katanya, pada Ramadan yang lepas, beliau telah bergerak ke kampung-kampung, surau dan masjid di sekitar Mukah selain daripada mahu badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan aktif dalam pelaksanaan aktiviti lebih-lebih lagi menyemarakkan Ramadhan al-Mubarak dengan mengagihkan geran di kawasan Tellian.

Royston turut menyeru masyarakat agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, serta berhemah dan memanfaatkannya untuk perkara yang bermanfaat seperti perniagaan secara talian dan sebagainya.

“Ingin saya ingatkan di sini, gunakan saluran yang betul untuk membuat aduan atau permohonan. Platform media sosial seperti Facebook dan Tik Tok bukanlah saluran yang sesuai kerana bagi yang tidak memahami proses atau hal-hal berkaitan yang dimuatnaik sudah pasti mengundang persepsi negatif kelak.

“Kita ada Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung bagi membuat aduan atau permohonan, kita juga ada agensi yang khusus bagi hal-hal yang berkaitan, gunakanlah saluran tersebut untuk membuat aduan. Ada juga pihak yang sengaja mengapi-apikan berkenaan hal yang tidak pasti,” tegasnya.

Tambahnya, dengan memuatnaik isu sensitif dikhuatiri boleh menggugat keharmonian masyarakat dan Sarawak amnya sehingga melibatkan isu perundangan dan menjadi hal begitu serius.

Sementara itu, beliau mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa kerana dengan jayanya membuat program sebegini bersama penduduk kampung dengan kerjasama beberapa buah NGO.

Katanya, ia menunjukkan kesepakatan dan kesefahaman dalam masyarakat, dan sikap seperti inilah yang penting untuk memajukan kampung dan kawasan serta melancarkan lagi urusan dalam pembangunan fizikal mahupun apa jua aktiviti yang dilaksanakan.

Sebagai tanda sokongan, beliau menyerahkan geran sebanyak RM10,000 kepada JKKK untuk setiap kampung bagi menjalankan aktiviti-aktiviti yang melibatkan kemasyarakatan.

Manakala untuk surau-surau, beliau menyumbang RM3,000 dan RM5,000 bagi masjid di kawasan Tellian pada Ramadan yang lepas.

Pada masa sama, beliau mengadakan ‘walkabout’ ke kampung-kampung dan penempatan di sekitarnya untuk menyerahkan sendiri Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa 1 kepada NGO yang menerimanya.

Hadir sama Pegawai Pejabat Agama Islam Bahagian Mukah Muhammad Adib, Pegawai UKAS Bahagian Mukah Hafizzul Abdul Halim, Penghulu Jefrina, Pengerusi Masjid Darul Falah Kamal Sirat, Pengerusi Unit Saberkas Kampung Penat Fauzan,  Pegawai Pejabat Agama Islam Bahagian Mukah Muhammad Adib, Pegawai Pusat Khidmat P213 Mukah Syuhaida dan Exco SABERKAS Negeri Sarawak Tarmizi Karnain.