PERLIS: Seramai 200 orang mahasiswa dan mahasiswi anak Sarawak dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Program Pemantapan Mahasiswa Universiti (PiMU) 2024, selama dua hari, di Hotel Seri Malaysia, Kangar, baru-baru ini.
Program tahunan anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) itu bukan sahaja bertujuan untuk menyemai dan membudayakan integriti, tetapi juga meningkatkan kefahaman dan pengetahuan mengenai perjuangan anti rasuah di Sarawak.
Dalam masa sama, ia juga secara tidak langsung menjadi platform untuk anak-anak Sarawak meluaskan jaringan dan ruang untuk percambahan minda.
PiMU 2024 telah dirasmikan oleh Raja Muda Perlis merangkap Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Naib Canselor UniMAP Profesor Dato’ Ts Dr. Zaliman Sauli, Dekan Hal Ehwal Pelajar UUM Profesor Madya Dr Massudi Mahmuddin serta Pengarah UNIONS Wan Mohamad Wan Drahman.
Program ini asalnya dikenali sebagai 'Integrity In Campus' pada tahun 2018. Kemudian, ia dinamakan Kem Integriti Mahasiswa Universiti (KIMASU) pada tahun 2023 dan dijenamakan semula sebagai PIMU pada tahun ini.-Edisi UKAS