Festival WAK Cetus Pembangunan Industri Kreatif Di Sarawak

Disiarkan pada 01 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Festival ‘What About Kuching’ (WAK) yang semakin berkembang setiap tahun bukan sahaja mencerminkan kemajuan seni dan budaya Sarawak, malah menjadi pemangkin utama dalam memacu pelancongan serta mengukuhkan industri kreatif di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, menyifatkan Festival WAK sebagai platform penting yang memperkenalkan pelbagai aspek seni, budaya, dan gaya hidup Sarawak kepada masyarakat tempatan dan pelancong antarabangsa.

“Festival ini telah menjadi elemen penting dalam kalendar acara Sarawak dan berperanan besar mempromosikan pelancongan serta perkembangan industri kreatif kita.

“Saya berharap festival ini terus berkembang dengan lebih banyak acara bertaraf dunia pada tahun-tahun mendatang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Penghargaan Festival WAK 2024 di Dewan Mahligai, Kuching pada Khamis.

Menurut beliau, kementerian turut memberi sokongan penuh kepada Festival WAK, dan inisiatif ini disokong oleh pelbagai agensi kerajaan serta rakan kongsi sektor swasta yang memberi sumbangan signifikan terhadap kejayaan festival ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong Festival WAK sebagai satu simbol penting untuk pelancongan, belia, dan industri kreatif di Sarawak,” tambahnya.

Dato Sri Abdul Karim turut menggalakkan penyertaan sektor korporat dalam festival ini, kerana ia menawarkan platform yang berkesan untuk meningkatkan penjenamaan dalam kalangan komuniti tempatan, terutamanya golongan belia.

“Festival ini sangat menarik minat golongan muda dan memberi peluang besar untuk syarikat-syarikat mengukuhkan kehadiran jenama mereka di Sarawak,” ujarnya lagi.

Terdahulu beliau telah menyampaikan penghargaan kepada kesemua rakan strategik dari segi penyediaan lokasi, penaja serta media yang turut bekerjasama sepanjang festival itu berlangsung.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan serta tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS

#UKASnews