MIRI: Sebanyak empat unit papan tanda radar kelajuan bertenaga solar diperkenalkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dipasang di beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi kemalangan jalan raya.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, jalan yang telah dikenalpasti ini merupakan kawasan yang sering berlaku kemalangan, dan salah satu punca utama adalah kelajuan.
"Dengan sistem ini, pemandu dapat melihat kelajuan mereka dan diingatkan untuk memperlahankan serta mematuhi had laju kenderaan.
“Menerusi alat tersebut pihak berkuasa dapat mengumpul data kelajuan dan jumlah kenderaan.
“Statistik tersebut akan dihantar ke pusat kawalan bagi tujuan pemantauan dan kajian untuk meningkatkan keselamatan jalan raya di Miri,” ujarnya ketika ditemui media semasa Majlis Pelancaran Papan Tanda Radar Pengesan Kelajuan di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu menambah, papan tanda radar kelajuan ini adalah sebahagian daripada Projek Lampu Isyarat Pintar ‘Sydney Coordinated Adaptive Traffic System’ (SCATS) yang telah dijalankan di Miri.
Jelasnya, projek ini melibatkan naik taraf 28 buah lampu isyarat kepada sistem SCATS adaptif yang menggunakan teknologi AI untuk menyesuaikan masa lampu isyarat secara automatik berdasarkan keadaan lalu lintas.
“Sistem ini telah menunjukkan pengurangan masa perjalanan sehingga 25 peratus pada waktu puncak dengan cara mengurangkan masa menunggu di lampu isyarat.
“Projek Lampu Isyarat Pintar SCATS ini kini hampir siap, dengan kemajuan mencecah 96.6 peratus dan dijangka selesai sepenuhnya pada November 2024,” tambahnya.
Difahamkan, papan tanda ini ditempatkan di beberapa lokasi risiko tinggi kemalangan seperti di hadapan simpang ke Borneo Medical Centre, Bulatan Monumen Kuda Laut Miri, Pejabat JPJ Miri dan Pejabat JKR Bahagian Miri. -EDISI UKAS