Jawatankuasa Siasatan Lubang Benam Ditubuhkan

Disiarkan pada 01 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Jawatankuasa siasatan bagi kejadian lubang benam akan ditubuhkan untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh dan menilai potensi kejadian lubang benam di Kuching.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jawatankuasa siasatan ini akan terdiri oleh pegawai kanan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak untuk menyiasat kejadian lubang benam di sekitar bandaraya Kuching.

“Jawatankuasa siasatan itu melalui Pusat Penyelidikan JKR Sarawak akan menggunakan teknologi Ground Penetration Radar (GPR) untuk menjalankan siasatan terperinci dan memastikan tiada lubang benam tambahan di bawah jalan.

“Difahamkan, analisis komprehensif ini dijadualkan selesai pada 15 November 2024,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Sehubungan itu, Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu berkata jawatankuasa siasatan berkenaan telah ditubuhkan sebagai tindak balas kepada laporan lubang benam di Jalan Tun Jugah, Kuching.

Dalam pada itu, beliau telah mengarahkan JKR Sarawak menyiasat kejadian itu dan mengisi semula lubang benam dengan bahan yang sesuai untuk memulihkan permukaan dan mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya.

Menurutnya, pembaikan permukaan diselesaikan dalam masa beberapa jam selepas laporan itu.

Satu taklimat telah diadakan pada Khamis bagi membentangkan penilaian awal di mana penemuan menunjukkan bahawa lubang benam adalah agak cetek, berukuran lebih kurang 1.3 meter kali 1.7 meter dengan kedalaman 0.75 meter.

Semasa pemeriksaan visual, JKR Sarawak mendapati bahawa bahan asas jalan di sekeliling kelihatan longgar dan lembap.

Penyiasat telah mengenal pasti sistem saliran bawah tanah di bawah laluan pejalan kaki bersebelahan dengan lubang benam, dengan penutup lubang terletak kira-kira 2 meter dari tapak.

Penemuan awal menunjukkan bahawa lubang benam itu mungkin berpunca daripada kebocoran paip bawah air hujan yang disambungkan ke tempat letak kereta kompleks beli-belah. -EDISI UKAS